Thursday, October 7, 2010

Snek kudapan sihat


Lagi setengah jam waktu minum petang. Namun perut sudah berkeriut kelaparan, minta diisi kudapan sebelum dapat menghirup secangkir teh dan kuih. Jika terjadi situasi sebegini, apakah pilihan snek anda – sebiji muffin, bar coklat, minuman berkarbonat atau makanan ringan?

Jarak masa di antara waktu makan utama seperti makan tengah hari dan minum petang seolah begitu lambat berjalan, membuatkan ramai di antara kita terbiasa mengambil snek untuk dimakan. Jaga-jaga, sebelum anda mengunyah gigitan cip kentang rangup dan pedas itu, fikirkan dahulu: adakah pilihan snek saya benar-benar berkhasiat?

Memilih snek sihat sama pentingnya dengan makanan utama kita. Sebaiknya pastikan snek yang dimakan berfiber tinggi dan mempunyai nutrien tanpa tambahan kalori untuk menjamin keseimbangan diet. Perkara ini penting agar tubuh badan menyerap manfaat dan tenaga tambahan, bukan sekadar mengenyangkan sehingga berat badan meningkat.

KURANG 250 KALORI
Ingin tahu caranya? Jika membeli snek di pasar raya, bacalah label kandungan yang tertera jumlah kalori. Lihat juga kepada dua kandungan pertama, adakah bahan-bahan yang tertulis adalah terdiri jenis bergula dan berlemak? Jika ya, lupakan sahaja – ia makanan ringan! Kandungan bahan biasanya disenaraikan dari yang paling banyak kepada yang paling sedikit. Atau jika tidak pasti, cukup sekadar beringat-ingat agar mengehadkan pengambilan snek dalam jumlah yang kecil.

JAUHI SNEK MASIN DAN BERLEMAK
Snek sebegini biasanya membuatkan tubuh terhidrat dan hilang lembapan. Akhirnya anda cepat merasa penat dan mengantuk. Jadi, kenapa tidak bertukar kepada snek yang memberi tenaga dan menyegarkan tubuh?

ISTILAH BAHAYA

SATURATED FAT merupakan lemak paling tidak berguna dalam keluarga lemak. Ia meningkatkan kadar kolesterol dalam darah.

MONOSODIUM GLUTAMATE (MSG) ialah bahan penambah perisa yang paling popular ditemui dalam bentuk gelatin dan ekstrak yis. Pengambilan berlebihan mengakibatkan pening, cirit-birit dan serangan jantung.

SODIUM bermaksud garam. Ia boleh menyebabkan kehausan, kekurangan cecair tubuh dan tekanan darah tinggi,

FOOD ADDITIVES ditambah dalam snek kerana pelbagai sebab. Contohnya pewarna, pengawet, antioksidan dan perisa tambahan. Nama-nama saintifik seperti E252 Potassium Nitrate atau E325 Sodium Lactate antara penyebab kepada mual perut, gatal-gatal kulit dan pelbagai reaksi negatif.

SNEK SIHAT
  • Yogurt rendah/tanpa lemak
  • Buah-buahan segar atau segenggam buah kering
  • Segenggam kacang hazel, badam atau gajus dicampur kismis
  • English muffin dengan mentega kacang dan secangkir teh herba
  • Snek bar tinggi fiber tanpa garam dan kolesterol
  • Segelas jus oren atau sayuran

No comments:

Post a Comment