Monday, October 4, 2010

Menu sihat di majlis perkahwinan


Nasi bukhara, nasi hujan panas, daging bakar air asam, kambing masak kurma, acar buah dan jelatah timun nenas, itu belum lagi dimaniskan koktel jeli buah-buahan dan puding karamel... hmm, beginilah adatnya kalau berkunjung ke majlis perkahwinan, ‘tadah’ sajalah perut untuk disumbat segala makanan. Hidangan tuan rumah, khasnya dari dapur masakan Melayu, sememangnya lazat menggoda selera namun di sebalik itu, berjaga-jagalah dengan ledakan kolestrol, lemak, garam dan gula yang banyak!

Sebagai tuan rumah yang mengalu-alukan para jemputan, pelbagai hidangan makanan biasanya dijamu sebagai tarikan. Samada secara bufet, hor d’oeuvres atau dihidang oleh pelayan, anda bertanggungjawab memastikan agar setiap hidangan mengandungi nutrisi tertentu serta memenuhi keperluan diet. Kesedaran seperti ini mampu menunjukkan kasih sayang dan keikhlasan kita sebagai tuan rumah secara halus.

HIDANGAN DARI BAHAN TERBAIK
  • Apakah anda menggunakan khidmat katerer ataupun masak bergotong-royong? Apa sahaja pilihan anda, pastikan bahan mentah sentiasa bersih segar, malah bawang-bawang dan bahan kering disimpan rapi sebelum dimasak.
  • Sertakan bijirin atau sayuran hijau dan buah-buahan dalam hidangan anda. Contohnya bebiji kismis dalam puding karamel atau satay buah-buahan segar. Ia membekalkan fiber penting kepada diet anda dan para tetamu. 
  • Hadkan penggunaan lemak dan santan dalam masakan. Jika perlu, ubahsuai rasa dengan susu segar atau stok ayam. Berusaha elakkan penggunaan mentega, sebaliknya pilihlah minyak sayuran atau cairan marjerin. 
  • Kurangkan taburan garam yang menyumbang risiko tekanan darah tinggi. Ubahsuai rasa dengan herba, rempah atau bahan perasa selain garam dan MSG. 
  • Kurangkan jumlah gula untuk mengawal kalori, selain sifatnya yang tidak mengandungi nilai nutrisi. Ramai orang yang sudah mulai prihatin tentang berat badan, maka usaha anda untuk mengurangkannya pasti dihargai. 
  • Perkara paling penting, sentiasa pastikan hidangan panas disaji panas dan hidangan sejuk disaji sejuk. Ini mampu menghalang pembiakan bakteria.

IDEA HIDANGAN UNTUK MAJLIS RESEPSI

SARAPAN PAGI
Jika bajet anda agak terhad, buat kelainan dengan menganjurkan majlis resepsi di sebelah pagi. Hidangkan juadah dari paduan breakfast dan lunch seperti sup cendawan berkrim, puding coklat, aneka kuih-muih, pastri, omelet dan potongan buah-buahan. Untuk selera tempatan, jamulah bihun atau pasta goreng yang direncah dengan sayuran hijau.

MAKAN TENGAHARI
Merupakan waktu resepsi yang paling popular. Menu mestilah sesuatu yang berat untuk makan tengahari seperti nasi. Pelbagai lauk-pauk boleh dihidangkan tapi beringatlah untuk mengubahsuai masakan dengan bijak demi kesihatan. Hidangkan lebih makanan berasaskan bijirin, sayuran dan buah-buahan, diikuti lauk-pauk seperti ayam dan daging serta sedikit pencuci mulut.

MAKAN MALAM
Resepsi ini menuntut bajet yang tinggi memandangkan ia resepsi paling mewah dan bergaya. Hidangannya hampir seakan-akan makan tengahari tetapi biasanya ramai tuan rumah memilih sajian cara berhidang atau full course meal.

CARA BUFET
Bagi mengelakkan tetamu beratur lama menunggu giliran, pastikan anda membuka akses di kedua-dua belah meja buffet. Sediakan juga beberapa meja bufet tambahan dan mainkan lagu-lagu menarik sementara mereka mengambil makanan. Pastikan juga kanak-kanak, orang tua atau orang kurang upaya diberi layanan khas.

PELBAGAI MENU
Jika anda ingin menjamu tetamu dengan hidangan multiple course, pastikan mereka telah membuat RSVP terlebih dahulu bagi menyenangkan anda membuat anggaran dan bajet. Disamping itu, perkara ini memberi peluang bagi mengetahui samada wujud tetamu yang vegetarian, diabetik dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment