Sunday, October 3, 2010

Duhai pengantin, usah obses berdiet!


Kerana tidak ingin digelar pengantin gemuk, usaha mendiang Samantha Clowe, 34, untuk mendapatkan bentuk badan idaman menjelang hari perkahwinannya berakhir dengan maut. Wanita obesiti seberat 107kg ini bertekad menyertai diet ketat LighterLife, sebuah program menurunkan berat badan yang mengehadkan pengambilan 530 kalori sehari. Dengan berat badan 20kg lebih ringan, beliau maut 11 minggu kemudian akibat kegagalan jantung yang serius.

Setiap bakal mempelai pasti terdorong untuk tampil cantik di hari perkahwinannya. Bukan sekadar pada penampilan wajah dan busana pengantin yang dikenakan, malahan bentuk badan yang langsing juga seolah suatu trofi yang ingin ditayangkan. Program menurunkan berat badan sebetulnya tidak menuntut perbelanjaan yang tinggi, tetapi kejayaannya banyak bergantung kepada komitmen masa dan kesungguhan minda untuk mencapainya. Tanyakan pada diri anda, mengapa anda ingin langsing? Apakah kerana semata-mata ingin menyarung persalinan yang diimpikan atau untuk dilihat sihat dan bahagia di atas pelamin? Mulakan usaha anda dan nikmatilah ganjarannya.

PASTIKAN BERSARAPAN
Sarapan merupakan waktu makan yang paling penting untuk permulaan hari. Namun begitu, ramai bakal pengantin yang tidak mengendahkan sarapan, sebaliknya terus keluar bersenam sebaik terjaga dari tidur. Menurut pelatih kecergasan terkemuka, Brian Sutton, mengelakkan sarapan adalah kesilapan paling besar untuk berdiet. “Ia sama seperti berbuka puasa. Tubuh anda pasti kelaparan selepas 6-9 jam waktu tidur. Dengan bersarapan, ia membekalkan semula tenaga yang hilang dan membantu mengawal nafsu makan anda hingga ke penghujung hari.”

Anda disarankan untuk mengambil sarapan yang tinggi kandungan serat kerana ia lambat dihadam dan membuat perut kenyang, lebih lama. Antaranya ialah bijirin sarapan berkhasiat yang rendah gula seperti emping jagung, muesli dan oat. Taburi hirisan buah-buahan segar seperti anggur, kiwi atau strawberi di atasnya. Sekiranya anda inginkan lebih tenaga, ambil semangkuk putih telur setengah masak bersama roti gandum bakar yang enak. Nikmati juga buah-buahan seperti oren dan pisang untuk mempelbagaikan hidangan.

TENGAHARI
Teruskan pengambilan nutrisi yang sihat pada waktu makan tengahari. Sebaik-baiknya, bawalah bekal makanan sendiri ke pejabat. Nah, anda bukan sahaja dapat mengawal saiz hidangan yang diambil, malah lebih beruntung kerana dapat menjimatkan wang untuk perkara yang lebih penting di hari perkahwinan. Bawalah bekal seperti sandwich tuna, burger sayuran atau roti gandum berjem, ia rendah kalori serta mampu meningkatkan jumlah pengambilan serat. Variasikan dengan snek sihat seperti yogurt rendah lemak dan sebiji epal.

Jika terpaksa juga untuk keluar makan di restoran, elakkan dari berkunjung ke restoran makanan segera. Anda pasti sukar untuk mencari menu makanan segera yang benar-benar sihat dan tidak menggemukkan. Sebaik-baiknya, pergilah ke restoran deli atau restoran makanan tempatan yang menyajikan hidangan sandwich, buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang menyihatkan.

MAKAN MALAM
Peraturan yang sama masih berkuatkuasa untuk makan malam. Jika boleh, makanlah di rumah kerana anda dapat menjimatkan perbelanjaan, lebih berkhasiat dan menghalang diri dari makan berlebihan. Selepas makan, teruskan dengan membuat senaman ringan seperti membersihkan dapur atau membasuh pinggan mangkuk, berbanding terus menikmati semangkuk aiskrim yang cukup tinggi kandungan kalori. Namun jika tiada pilihan atau ingin menukar selera di restoran, anda disarankan agar memilih menu salad segar berbanding stik atau mi tempatan. Cuba elakkan dari mengambil nasi yang banyak dan lauk-pauk yang berat. Satu lagi tip mudah, berkongsilah makanan anda dengan teman untuk mengecilkan saiz hidangan yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment